20/12/2011

~WoNdErLaNd~ ((2))

((Perhatian: Cerita ini tiada kena-mengena dengan mana-mana pihak, kecuali pihak pereka kisah Alice in Wonderland - Lewis Caroll. Sebarang persamaan dengan sesiapa yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia adalah kebetulan semata-mata))

--

"Aaaaah! Tolong!"

Alisya Faziera -Alice- yang terjatuh ke dalam lubang arnab menjerit secara automatik akibat terkejut. Lubang yang sangat dalam dan sangat gelap itu seolah-olah menelannya dan membawanya ke pusat bumi. Perlahan-lahan, suasana di dalam lubang itu menjadi agak cerah. Alice mendapati dirinya dikelilingi pelbagai barang aneh yang terapung-apung sambil dia jatuh perlahan-lahan.

'Sangat aneh dan menarik,' fikirnya sambil dia memerhati dan mencuba beberapa alat secara rambang.

Tiba-tiba satu kuasa yang kuat menarik dirinya ke bawah dengan pantas dan dia jatuh menjunam, menembusi satu lapisan kaca yang agak tebal. Lantas terjelepok ke atas lantai yang keras.


"Ugh! Sakit...huh?"


Alice memerhati sekeliling. Di sebelahnya, sebuah lampu candelier kelihatan seperti sedang berdiri secara terbalik dengan sempurna. Barisan pintu yang berada di dalam bilik itu juga terbalik. Atau mungkin...? Dia memandang ke atas dan menyedari yang rambutnya sedang tergantung ke atas - atau...?


"Wah! Aduh!"


Alice terjatuh dari atas siling yang disangkanya lantai itu. Dengan segera dia bangun dan membetulkan dirinya. Lantas dia memerhatikan sekeliling. Dia dikelilingi pintu yang mempunyai pelbagai bentuk, warna dan saiz. Dan jumlah pintu-pintu itu sangat banyak sehingga tidak mampu untuk dikira.


Semakin lama semakin aneh, fikirnya sendiri sambil dia mencuba untuk membuka pintu yang berada paling dekat dengannya. Namun begitu, pintu itu tidak berganjak walau sedikitpun. Alice mengangkat bahu dan mencuba pintu yang seterusnya. Juga terkunci. Dia tidak berputus asa dan mencuba membuka beberapa pintu lagi, namun tiada yang terbuka. Akhirnya dia keletihan.


"Huh?"


Tumpuannya beralih ke arah satu pintu kecil yang tersembunyi di sebalik langsir yang beralun seolah-olah digerakkan oleh seseorang - atau sesuatu. Dengan segera, tanpa mempedulikan kepenatannya, dia mendekati pintu kecil itu dan cuba membukanya dengan tergesa-gesa.


"Aduh...!"


"Ah, maaf! Er...encik tombol pintu?"


"Oh...tangan kamu sangat kuat. Hampir patah hidung saya dibuatnya," tombol pintu itu berkata-kata, membetulkan 'hidung'nya pada masa yang sama.


"Maafkan saya, encik tombol pintu, tapi saya perlu mencari arnab putih yang memakai kot itu," Alice berkata dengan sopan. "Adakah arnab itu melalui pintu ini?"


Tombol pintu itu ketawa kecil. "Oh, si arnab kecil itu memang melalui sini. Awak boleh lihat sendiri jika awak mahu."


Tombol itu membuka 'mulut'nya yang merupakan lubang kunci seluas-luasnya supaya Alice dapat melihat menembusi pintu itu. Dan sememangnya, dia dapat melihat arnab putih itu berjalan dengan tergesa-gesa di sebuah kawasan yang nampak seperti sebuah taman. Secara automatik, dia meminta supaya tombol itu membuka pintu agar dia dapat mengejar arnab itu.


"Oh, tapi awak terlalu besar untuk melalui pintu ini! Awak tidak mungkin akan muat!" tombol itu tertawa sendiri. "Tapi mungkin awak patut cuba minum air yang di atas meja itu. Mungkin awak akan dikecilkan!"


"Air...?"


Tiba-tiba muncul sebuah meja kaca dengan sebotol air di atasnya. Botol itu dilabel "Drink Me". Alice mendekati meja itu dan mengambil botol itu. Sambil membaca label itu, dia mengangkat bahu dan mula minum air itu tanpa perasaan ragu-ragu. Dengan tidak disangka-sangka, badannya mula mengecil dengan kadar yang pantas sehingga akhirnya dia menjadi sebesar seekor tikus.


"Bagus sekali. Kamu sudah jadi kecil. Sekarang kamu boleh melalui saya! Sekarang kamu hanya perlu memasukkan kunci ke dalam mulut saya dan-"


"Kunci? Kunci apa?"


"Oh? Jangan kata kamu terlupa ambil kunci di atas meja itu!"


Alice melihat ke arah meja kaca itu dan dengan tiba-tiba, sebatang kunci muncul. "Oh, ini sangat mengecewakan!"


Tombol pintu itu ketawa semahu-mahunya sambil melihat Alice bersusah-payah mencuba untuk memanjat kaki meja itu. Dia merengus dan terus mencuba untuk beberapa kali namun usahanya sia-sia sahaja. Akhirnya dia berputus asa dan duduk di atas lantai sambil menongkat dagunya dengan perasaan hampa. Manakala si tombol pintu terus ketawa sehingga tercungap-cungap.


"Oh, ini sungguh melucukan! Memang sangat melucukan!"


"Tiada apa pun yang melucukan!" Alice mencebik.


"Oh, saya pasti tidak untuk kamu," tombol pintu itu mengangguk dengan perasaan geli hati. "Tapi pastinya ia sangat melucukan untuk saya. Walau bagaimanapun, andainya kamu betul-betul ingin melalui saya, kamu boleh mengambil kunci itu jika kamu makan biskut di dalam kotak di sebelah kamu itu."


Seperti sebelumnya, sebuah bekas kecil muncul secara tiba-tiba di sebelah Alice. Kotak itu diteg dengan perkataan "Eat Me". Tanpa berfikir panjang, dia segera mencapai sekeping biskut di dalam kotak itu dan mula mengerip biskut itu. Dengan tidak semena-mena, badannya membesar dengan sangat pantas sehingga dia akhirnya memenuhi kesemua ruang di sekelilingnya.


"Ooof!"


--
Sementara itu...


"Awak rasa dia yang kita cari?"


"Ya, saya sangat yakin dialah orang yang kita cari selama ini. Impian kita akhirnya akan tercapai!"


"Sh...perlahankan suara awak! Dia akan terdengar kita nanti!"

10/12/2011

~WoNdErLaNd~ ((1))

((Perhatian: Cerita ini tiada kena-mengena dengan mana-mana pihak, kecuali pihak pereka kisah Alice in Wonderland - Lewis Caroll. Sebarang persamaan dengan sesiapa yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia adalah kebetulan semata-mata))

--

Bosan. Penat. Tak sabar. Alisya Faziera merengus sambil merenung skrin netbooknya. Kekunci di keyboard ditekan dengan pantas. Berhenti. Menanti. Panas. Dia mendengus dan menolak netbook HP Mini itu agak jauh ke depan. Lantas berpaling dan berbaring menghadap siling kamar tidurnya. Sekali-sekala tangannya mengesat peluh jantan di dahi. Panas tengah hari menyelubungi diri.

"Panas! Kenapalah masa ni bekalan elektrik tak ada? Pagi tadi sejuk, elok pulak! Hisy!" gadis sunti itu mengomel sendirian.

Tangannya mencapai telefon bimbit Nokia 5800 XpressMusic dengan casing getah berwarna jingga miliknya. Punat earphone disumbatkan ke telinga dan koleksi lagu di dalam telefon itu mula dimainkan. Lagu Avril Lavigne berjudul "Alice" bermain. Alisya turut sama menyanyikan lagu itu dengan sepenuh hati, melepaskan segala kemelutan dalam jiwanya.

Di pertengahan lagu, dia berhenti bernyanyi dan mula membayangkan situasi dalam lagu itu. Apa agaknya perasaan Alice bila dia jatuh dalam Wonderland? Apa perasaan aku kalau aku jadi Alice? Takut? Curious? Or what? Excited maybe? Lagi-lagi kalau aku dapat Johnny Depp jadi Mad Hatter. Memang seronok tak ingat dunia. Ketawa.

"Melukis best jugak ni."

Pantas dia bangun dari katil dan bergerak ke arah sling bag Billabong yang dicampak ke atas meja studi. Alisya mengeluarkan fail lukisan dan bekas alat tulisnya a.k.a poket Doraemon lalu diletakkan di atas karpet. Bantal diambil dan diletakkan bersama untuk dijadikan alas dada. Lantas dia mula melukis gambaran dirinya sebagai Alice sebagaimana dalam kisah "Alice in Wonderland".

--

"Siap pun Alice and the White Rabbit! Boleh rehat sekejap. Nanti sambung lukis Hatter pulak."

Sekali lagi Alisya mencapai telefon bimbitnya. Jam menunjukkan pukul 2.10 petang. Gadis itu mengeluarkan keluhan kecil. Bekalan elektrik sudah setengah hari putus. Kepanasan mula menguasai diri semula. Geram. Penat. Bosan. Dia melabuhkan punggung di atas katil. Termenung. Mula mengelamun dalam dunia yang dicipta sendiri. Dunia dia, Alice, di Wonderland.

--

"Alice? Oh Alice, kamu tertidur lagi! Ibu kamu akan marah jika kamu terus begini, kamu tahu?"

Alisya -Alice- membuka matanya dan menguap kecil. "Tapi kak Mathilda, sejarah sangat membosankan! Lagipun, saya tak suka buku yang tidak bergambar!"

"Sejarah merupakan sesuatu yang sangat penting untuk kamu pelajari. Jika kamu melupakan sejarah, kamu akan mengulangi kesilapan masa lalu. Dan buku inilah yang akan banyak membantu kamu di dunia ini pada masa akan datang. Oleh itu, kamu harus bersedia daripada sekarang," Mathilda, kakak Alice, menerangkan.

"Dalam dunia saya, semua buku akan mempunyai gambar dan gambar dan cuma gambar yang banyak! Betul tak, Dinah?"

Dinah, kucing kepunyaan Alice, mengiau. Alice tersenyum sendiri dan mula berangan. Kata-kata kakaknya langsung tidak dihiraukan. Sambil dia berkhayal, tiba-tiba dia terfikir satu idea yang padanya sangat menarik.

"Betul! Di dunia saya, tiada apa yang mustahil! Yang sepatutnya terjadi takkan terjadi, dan yang tak sepatutnya terjadi akan terjadi! Ya, dan di dunia itu, bunga-bunga akan menyanyi dengan suara mereka yang sangat merdu, secantik rupa mereka. Dan kamu," dia mengangkat Dinah yang mengiau. "Oh, kamu tidak akan mengiau di dalam dunia itu. Kamu akan berkata-kata. Oh, alangkah menariknya dunia saya itu!"

Alice terus berkhayal tentang dunianya. Tiba-tiba, dia terdengar suara halus yang sedang tercungap-cungap dan terlihat seekor arnab putih yang memakai kot dan memegang jam berlari dengan pantas ke dalam hutan. Terkejut dan tertanya-tanya, Alice mula mengejar arnab putih itu. Tidak lama kemudian, arnab itu meluru masuk ke dalam sebuah lubang di celah akar pokok.

"Encik arnab! Peliknya, arnab yang memakai kot, memegang jam dan boleh bercakap! Dan sedang lewat! Lewat untuk apa?"

Dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak, dia memasuki lubang yang agak sempit itu untuk mengikut arnab putih itu. Suasana di dalam lubang itu gelap dan Alice tidak nampak apa yang berada di depannya. Namun begitu dia tetap meneruskan perjalanan dan-

"Waaaah! Tolong!"

--